25 April, 2024

Persekolahanku SMKST BEA3047@moe.edu.my Kuala Selangor - April 1974.

Kategori:        CERPEN

Tajuk  :           Persekolahanku - April 1974.

Hari raya 1 Syawal 1393H bersamaan Ahad 28 Oktober 1973 teringat akan emakku dan bapaku. Beliau telah membeli sekodi kain berwarna biru untuk dibuat pakaian raya dijahit sendiri. Itulah kegembiraan beberapa tahun hanya sekali sekala bagi kami, Alhamdulillah. Bapaku pula seorang setiausaha masjid dilantik menjadi Amil, menguruskan zakat fitrah datang bergantian orang kampong ke rumah bapaku. Mereka membayar zakat fitrah dengan bayaran $1.25 sen dikala itu bagi seorang penzakat. abang Long, abang Ngah serta abang Su, mereka ada memberi sedikit sebanyak bagi membantu dari segi kewangan. Begitu juga dengan Kak Long. Manakala Kak Ngah dan Kak Su masih belajar. Dari pengalaman dan lakuan yang dilalui oleh ibu bapa, abang-abang dan kakak kami itulah akan kami buat sebagai ihktibar serta panduan kami buat adik beradikku dimasa hadapan (masa kini). 

Masih jelas diingatan.

    Setiap hari sebelum subuh bermula 2 Januari 1974, kami dikejutkan bangun pagi untuk persiapan diri pergi ke sekolah sama seperti hari-hari lainnya. Tatkala melalui hari-hari biasa yang kebiasaannya bas sekolah akan tiba tepat waktu. Cikgu Ngadinah Sukim akan sentiasa menunggu bas bersama kami dimana kami menghormati beliau dengan sikap membisu kami. Sampai awal, atau lewat sampai tetap bersama-sama. Begitulah seadanya diri kami. Sesampai di sekolah terus kutuju kelas 4 Sastera A bagi memulakan pelajaran pada hari itu.

 Tambang bas hanya Lima Belas Sen bagi satu hala perjalanan sahaja. Tidaklah mahal mana  bagi seorang anak orang kaya, kan. Kami? Ya kami. Ibu bapa kami terkial-kial mencari tambang bagi pas bulanan sebanyak ‘enam ringgit’ sebulan. Hasil torehan getah semalam ditukar untuk rezeki makan semalam. Hasil menoreh pokok getah emak dan bapa kami pagi itu adalah rezeki untuk dimakan pada hari itu juga, begitulah seterusnya.

Aktiviti petang.

Pulang dari sekolah bertukar pakaian, terusku giring Keliwon (lembu jantan) meragut rumput di tepi jalan besar. Setelah makan tengah hari kami bersama tiga orang adik lelaki pula mengembala kambing-kambing peliharaan bapaku meragut rumput ke tempat yang telah ditetapkan semenjak awal lagi. Begitulah rutin kami setiap petang. Kadang-kadang di sebelah petang ada juga menoreh pokok getah di belakang rumah di mana satu kati sekrap (600 gram) dengan harga cuma 25 sen sahaja manakala segantang beras pula berharga $1.20 sen. Apatah lagi dengan dua belas adik beradik kami, dengan 8 orang adik beradikku ketika itu sambil menjaga adik perempuan kedua bungsuku dan sibongsu (Adek). Kayakah kami? Ya, kami kaya dengan budi bahasa dan budi pekerti namun kami tetap happy selalu.

Hari sejarah piluku.

Hari Jumaat 5 April 1974 adalah hari malang bagi kami dimana pagi itu kami sampai ke sekolah tersangatlah lewat. Sesampainya kami di sekolah, kerlingan ganas dari guru disiplin menerobos masuk ke mata dan fikiran tatkala sampai. Hanya perasaan perit dan pedih, yang amat menyeksakan. Hatiku membentak penuh curiga. Mengapakah kami sahaja yang diperlakukan sebegitu rupa sedangkan seorang guru telah lolos masuk dalam jeda tertentu berlalu? Ingatkah lagi siapa nama guru itu? Itu hanyalah desakan kenakalan emosiku yang bertanya pertanyaan sebegitu dikala itu. Tanda apakah ini?    

    Perhimpunan sekolah adalah wajib dihadiri oleh tiap-tiap murid dan semua guru. Kebiasaannya ucapan guru bertugas mingguan, pesanan-pesanan oleh guru lain yang ingin disampaikan dan diakhiri dengan ucapan, pesanan serta “public caning” jika ada oleh tuan Guru Besar En Kamaruzaman Salleh. Berderau hati kami bila mengenangkan lewat sampai ke sekolah pada hari itu. 

Bas sekolah mogok.

Dihari persekolahan lain sekiranya lewat waktu, harus berjalan kaki dari stesyen bas Bandar Lama Kuala Selangor (kini restoran makanan). Menapaklah kami sejauh 1.33 batu. Ini kerana kami menaiki bas awam dan bukannya bas sekolah yang kebiasaannya dipandu oleh En Mat Segak bermata kuyu sampai di sekolah. Bila waktu pulang kami akan berjalan kaki menuju stesyen bas dan melalui kedai cendol di bawah pokok, hanya berharga 10 sen bagi segelas besar dikala itu.

Alhamdulillah. Entah bagaimana pada minggu hadapannya kakitangan syarikat bas Selangor akan melancarkan mogok dengan sebsb yang tidak dijelaskan. Berita ini telah disampaikan oleh En Mat bermata kuyu beberapa hari sebelum kejadian. Setelah mendengar berita itu, dan demi memenuhi impian dan harapanku, secara otomatik naluriku membuat keputusan secara ‘skimata’. Apa lagi untuk minggu hadapannya kupinjam sebuah basikal baharu daripada Abang Ngahku. Berbasikallah ke sekolah sejauh lebih kurang 13 batu yang melewati pekan Bukit Rotan, dan pekan Assam Jawa yang tidak dan belum pernah kuharungi dan kubuat selama ini. Apakah nasib kepada rakan-rakanku yang lain?. Bagaimanakah kalau murid-murid yang sekarang ini menghadapinya?

Tekad diri.

Semasa balik langsung kupergi ke sekolah DMK Batang Berjuntai yang dipesan oleh guru kelasku untuk mengambil buku prestasi pelajaran 1973 yang tidak sempat disampaikan kepadaku, berbasikallah sejauh 14 batu. Setelah selesai urusan, kayuhan sejauh 6.1 batu sampailah ke rumah pada jam 4.10 petang. Sungguh penat dirasa demi memenuhi segi empat perjalananku pada hari itu. Begitulah seterusnya perjalananku dengan basikal yang sama untuk hari esoknya, lusa, tulat, dan tulit. Lima hari berbasikal ke sekolah cukuplah sudah, sudah ‘kapok’ rasanya bisik hatiku.

Mujurlah mulai minggu hadapannya pada Isnin 15 April 1974 perjalanan dan perkhidmatan bas beroperasi seperti biasa, tidak perlulah berkayuh basikal lagi, getus hatiku kegirangan sambil  mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Seiringnya berjalannya waktu yang berlalu tanpa kusedari sehinggalah menamatkan persekolahan tingkatan 5 Sastera A di SMKST.

Akhirnya.

Manusia adalah ciptaan maha agung oleh ALLAH. Otak dan fungsi adalah anugerah tertinggi dari Yang Maha Esa. Gunakanlah ia dengan sebaik mungkin. Berfikir, bertindak dan berfikiran matang walaupun ia belum sampai waktunya. Sikap sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit dan dimana ada kemahuan di situ ada kehendak dan jalannya. Beriringan dengan semangat SMK Sri Tanjong yang dibawa bersama, persepsi ini akan dapat mengubah diri seseorang itu ke arah kebaikan. Semangat dan bekalan oleh SMKST masih tetap dihati sehingga kini. Terima kasih ibu dan bapaku, abang-abangku, guru-guruku serta kakak-kakakku dengan yang seadanya.

 

Nor Isna 26 Mac 2024.


NOTA:   Gelaran Pengetua diguna pakai mulai tahun 1982 dan ke atas.

               Sistem metrik rasmi diguna pakai pada tahun 1981 dan ke atas. 

.TamaT.

 

No comments:

Post a Comment