25 April, 2024

Bagaimana Kuala Selangor dan Selangor mendapatkan namanya. sejarah

Bagaimana Kuala Selangor dan Selangor mendapatkan namanya?  

Gambar ehsan daripada https://www.mpks.gov.my/ 

Sejarah awal nama Selangor bermula dari Kuala Selangor itu sendiri, yakni sebuah pekan terletak di pinggir Sungai Selangor. Manakala timbulnya nama Selangor adalah sempena sungainya. Kuala sungai ini pula dinamakan Kuala Selangor.

Memang zaman dahulu telah menjadi kebiasaan orang menamakan sesuatu tempat itu dari nama sungai. Sebagaimana yang diketahui mereka tinggal di tebing sungai yang menjadi alat perhubungan ketika itu. Diagakkan nama Selangor (Kuala Selangor) ini juga telah wujud lebih awal dari Kurun 15 Masihi, kerana sebelum Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511, Kuala Selangor pernah ditakluk oleh Melaka.

Dalam Sejarah Melayu menyebut pada zaman Paduka Seri Maharaja memerintah Singapura ada seorang Pasai bernama Tun Jana Khatib. Beliau mahir dalam Ilmu Khayal Lillah dan Tauhid. Beliau mempunyai dua orang sahabat iaitu seorang pergi ke Samarlingga (Selangor) dan seorang lagi ke Bungoran sementara Tun Jana Khatib pergi ke Singapura. Mengikut catatan sejarah, Paduka Seri Maharaja memerintah dalam Kurun 14 Masihi (1301-1400). Jika keterangan ini adalah benar. Jelaslah bahawa nama Selangor telah pun wujud pada ketika itu mahu pun sebelumnya. Dalam kitab Jawa Negarakertagama yang dikarang pada pertengahan Kurun 14 Masihi pula menyebut nama Klang tertakluk (jajahan takluk) ke Majapahit.

Beberapa keping peta lama tersimpan di negeri Cina dan dipercayai peta itu yang menjadi panduan kepada Laksamana Cheng Ho, salah seorang ahli perlayaran Cina yang dipercayai belayar dalam tahun 1405-1433. Dalam peta tersebut ada tertulis Sungai Klang dan Selangor darat. Sejarah Melayu juga ada menyebut di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1458), Tun Perak telah dijemput menjadi Penghulu di Klang.

Dalam khutub khanah Royal Asiatic Society di London pula terdapat senaskhah Sejarah Melayu bertulis tangan bersama-sama buku Raffles ada menyebutkan; Tuan Bendahara Johor mengahwinkan anaknya, Tuan Mahmud dengan puteri Raja Beruas (Perak) dan Tuan Mahmud diberi tahta memerintah Selangor.

Memandangkan segala keterangan di atas, nyatalah nama Selangor telah ada sebelum Kurun 15 Masihi lagi. Selangor yang dimaksudkan oleh keterangan di atas ialah Kuala Selangor sekarang ini di mana bermulanya politik negeri tersebut. Kata-kata ini tidak siapa yang dapat menafikan kerana segala bukti yang membenarkan bahawa di Kuala Selangorlah bermulanya pentadbiran negeri itu dan masih terdapat hingga sekarang.

Sebelum Daeng Chelak, anak raja Bugis lima bersaudara dari Pulau Sebilis itu datang ke Selangor, di Kuala Selangor telah memang ada didiami oleh manusia diketuai oleh seorang perempuan yang adil dari kaum Bugis yang bernama Upu Chendera Burung. Sifat seorang pemerintah yang bertimbang rasa inilah yang mempengaruhi hati penduduk asli di situ, hinggakan mereka bersumpah tidak akan melantik ketua yang lain kecuali dari keturunan Bugis. Faktor inilah yang menyebabkan kedatangan Raja Lumu ke Selangor telah diterima baik oleh penduduk tempatan dikala itu.

Apabila meninggalnya ketua mereka, lalu dikebumikan di atas sebuah bukit. Mengikut ceritanya bukit itu ialah Bukit Hospital yang berhampiran dengan Majlis Daerah Kuala Selangor sekarang ini (1979). Kini 2024 MAJLIS PERBANDARAN KUALA SELANGOR. Jalan Majlis, 45000 Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan. Di sisi pusara Upu Chendera Burung ini terdapat sebuah kolam air tawar dan sepohon bunga Tanjung.

Nukilan: Nor Isna. ‎5 ‎April ‎2024, ‏‎11:23:33 PM.

Rujukan.

1.    Dato' Dr Hj Yusoff Bin Hassan - 2002 - Sejarah Kuala Selangor.

 

Laman web dilayari.

1.    https://www.mpks.gov.my/#views-bootstrap-destinasi-menarik-home-block-1

2.    https://www.kompas.com/stori/read/2021/04/08/143609479/kitab-negarakertagama-sejarah-isi-dan-maknanya?page=all

No comments:

Post a Comment