07 December, 2013

Sejarah_Biodata_Embah_ToiSu

Sejarah_Biodata_Embah_ToiSu.. 


OH IBUKU SUPIAH, KUCERITAKAN

KELAHIRANMU.



(     AL-FATEHAH...........................AMIN    )


Assalamualaikum pembuka kata,
Waalaikum salam jawapannya nyata,
Takdir Tuhan yang Maha Esa,
Tersebut kisah suatu cerita.

................................. nama kampungnya,
Seorang gadis enam tahun umurnya,
Dengan seorang adik Ahmad namanya,
Ditinggal oleh kedua orang tuanya.

Gadis comel ini hidup menumpang,
Di rumah Kakek, hatinya walang,
Ayahnya Haji Noor bersikap lawang,
Bastiah ibunya yang tersayang.

Haji Noor dan isterinya telah datang merantau ke Tanah Melayu, menumpang di rumah kongsi (bangsal) sepertimana orang-orang Jawa datang ke Tanah Melayu. Akhirnya menempat di Kampung Baharu, Assam Jawa. Di sini Hj Noor menjalankan kerja-kerja bersama orang tempatan. Sepanjang mereka berada di Assam Jawa ini, Hj Noor dan isterinya Batsiah tiada dikurniakan oleh tuhan seorang anak pun. Ini menyebabkan Hj Noor banyak masa untuk berkebun..

            Pasangan ini menjalankan sara hidupnya sama seperti orang-orang lain, bersama ke hutan, menebang, menebas, memerun dan membakar. Menukarkan hutan belantara itu kepada ladang atau tanah lapang. Tidak kira siang atau pun malam, kalau siang bermandikan cahaya suria kalau malam bermandikan embun. Falsafah mereka senang sahaja. ”KALAU BERBUDI KEPADA TANAH, LAMBAT LAUN AKAN BERBALAS JUA”. Lebih-lebih lagi, mereka menggunakan sikap BERGOTONG-ROYONG.
                        
            Sikap bergotong-royong menjadi amalan mereka. Mereka tahu ”Pisang seikat gulai sebelanga, tanda muafakat makan bersama. Kalau yang berat itu sama dipikul kenapa yang ringan tidak sama dijinjing? Hj Noor dan Batsiah menumpahkan sepenuh tenaganya ke bumi di situ..

            Kehendak Allah tiada siapa yang tahu. Tiba-tiba Hj Noor pun jatuh sakit. Walaupun beberapa ikhtiar dilakukan, namun kehendak Allah-lah jua yang termakbul. Haji Noor kembali ke rahmahtullah. Tinggallah Batsiah dengan masghulnya setiap hari. Apa hendak dikata Tuhan lebih sayangkan umatnya dari kita sebagai manusia. Alhamdulillah dengan berkat iman yang tebal hasrat yang kuat dapatlah juga Batsiah menghilangkan sedikit demi sedikit perasaannya terhadap arwah suaminya.

Setelah beberapa ketika Batsiah menjanda, datanglah seorang jejaka teruna dari kampung yang sama, dari keluarga orang berada bernama Palil. Palil telah lama teringin janda tu, baharu sekarang dia mendapat. Setelah perundingan diadakan lalu Batsiah pun terus menerima Palil menjadi suaminya.

Sebelum ini anak Batsiah yang ditinggalkan di Tanah Jawa sana dan ditumpangkannya di rumah Kakeknya telah lama berada bersama Batsiah semasa Hj Noor masih ada. Kini apabila Batsiah bersuamikan Palil, maka kedua anaknya ini iaitu, Supiah yang berumur 10 tahun, adiknya bernama Ahmad berumur 8 tahun, turut tinggal bersamanya di rumah Palil.

 Masyarakat kampung ini terus berjalan seperti biasa. Mereka masing-masing dengan tugasnya masing-masing. Dalam keadaan begitu tersebutlah kisah seorang pemuda bernama Toimon, yang menjadi ketua peneroka tanah baru tinggal bersama-sama adik beradiknya serumah. Toimon sememangnya dikenali oleh para peneroka di situ, kerana ketokohannya memimpin serta ketegasannya bila membuat satu-satu keputusan. Namanya semakin dikenali oleh orang ramai kerana sikapnya seorang penyayang dan suka menolong.

Rumah di kampung biasanya mempunyai halaman yang luas untuk kanak-kanak bermain dengan jiran bersebelahan bila waktu petang. Sementara siibunya berbual-bual di tangga rumah. Supiah yang ketika itu berumur baru 10 tahun sama bermain di halaman rumah Palil.

Dalam keadaan begini seringlah Toimon melihat anak dara sunti Batsiah yang sudah mulai meningkat anak gadis. Sigadis ini sememangnya dapat menarik perhatian sipemandangnya kerana dari raut mukanya yang bulat, seolah-olah bulan penuh purnama. Hidungnya yang mancung, rambutnya yang lebat mengurai, sudah cukup menarik perhatian.

Bagi Toimon yang sudah berumur 30 tahun ini, mulai tertarik dengan anak gadis Batsiah yang bernama Supiah kini menjangkau 10 tahun. Apakala kata di hati telah bulat, rasa pun sudah setuju, Toimon pun menghantar pinangan ke rumah Palil dan Batsiah. Alhamdulillah gayung pun bersambut. Maka Toimon pun melangsungkan hari perkahwinannya dengan Supiah.

Setelah Supiah menjadi isteri kepada Toimon, lalu mereka pun berpindah ke rumah Toimon. Oleh sebab rumah itu begitu kecil, sedangkan penghuninya lebih dari 4 orang, lalu Toimon pun membina rumah sendiri. Di sinilah Toimon dan Supiah terus melipat gandakan usahanya berbudi pada tanah.


Toimon bekerja siang malam. Bila bulan terang, Toimon turun ke ladang mencangkul dan menajak. Supiah yang menjadi temannya hingga menjelang tangah malam. Di hati mereka tidak lain tidak bukan, mereka cuba mencari harta sebanyak mungkin bagi keperluan anak-anaknya di suatu hari nanti. Bagitulah perjuangan Toimon dalam siri menghimpun harta bagi anak-anaknya.


TETAPI APAKAH PENGORBANAN ITU
PENILAIAN, DARI ANAK-
ANAKNYA?



Dihasilkan oleh;

Dato’ Dr Haji Yusoff bin Hassan.
Timb Pengerusi TOISU
Musim 1,2, dan 3.


Diterbitkan pada 22 Disember, 2007 di Dewan Orang Ramai, Kampung Assam Jawa, 45700 Bukit Rotan, Kuala Selangor jam 10.00 pagi dalam perhimpunan Keluarga TOISU Kali Pertama

Dicatat oleh Kod_08.04.07_Disember-2013

No comments:

Post a Comment