KOTA TANJUNG KERAMAT.
Kota ini terletak lebih kurang 1.6 km dari pekan Kuala Selangor. Perjalanan lebih kurang 5 minit menuju ke Kota Tanjung Keramat dan memasuki dari belakang Kota Tanjung Keramat. Terdapat juga jalan yang lain untuk naik ke atas.
Sejarah yang tersimpan dan tercatat di
Arkib Negara Kota Tanjung Keramat menyatakan ia telah dibina oleh Almarhum
Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Salehuddin Shah (Raja Lumu) dalam tahun
1782-1826 semasa pemerintahannya. Semasa hayatnya Almarhum telah membina Pusat
pemerintahan di atas Kota Malawati atau Bukit Malawati dan sehingga Almarhum
mangkat. Semasa hayatnya Sultan Ibrahim telah menjadikan dan memperkuatkan
kedudukan pemerintahan baginda ketika itu dengan membina kubu-kubu pertahanan
di sekeliling kota Malawati dan telah menjadikan kota Tanjung Keramat sebagai
tempat pasukan tentera baginda berlatih dan bersedia untuk menghadapi sebarang
ancaman dari luar. Baginda juga telah banyak membuat hubungan diplomatik dengan
Kerajaan lain yang telah wujud pada ketika itu.
02 Ogos 1784 - Pada tahun 1784,
Selangor ditawan oleh Belanda yang memulakan serangan pada 13 Julai 1784.
Kemenangan Belanda ke atas pusat pemerintahan di Kuala Selangor itu menyebabkan
Sultan Ibrahim, Sultan Selangor pada masa itu bersama para pembesar dan
pengikutnya telah berundur ke negeri Pahang. Serangan Belanda ke atas Selangor
adalah sebagai membalas serangan Selangor ke atas kedudukan Belanda di Melaka. Ini
kerana semasa peperangan Kerajaan Melayu Johor-Riau dengan Belanda, Sultan
Ibrahim yang bersimpati dengan Johor telah membantu menyerang Belanda di Melaka
dimana Belanda hampir-hampir tewas dalam tahun 1783 sekiranya tidak mendapat
bantuan dari Betawi, Jawa.
Dengan penguasaan selepas mengharungi
peperangan sengit Belanda ke atas Selangor, pihak Belanda telah memperkuatkan
lagi Kota Malawati. Untuk beberapa waktu Belanda menguasai perjalanan lalu lintas
Selat Melaka dan menguasai perdagangan bijih timah serta gambir. Walau
bagaimanapun dalam tahun 1785 dengan bantuan tentera Bendahara Pahang, Sultan Ibrahim
telah menyerang dan menawan semula ibu negerinya iaitu Kuala Selangor dari
tangan Belanda.
Dengan kekalahan Belanda ini, Sultan
Ibrahim dapat menegakkan kembali Kerajaan Melayu Selangor. Baginda telah
memperbaiki dan memperkuatkan lagi Kota Melawati sebagai tempat kawalan dan
pertahanan kerajaannya dari sebarang serangan dari luar demi masa hadapan.
Orang-orang Belanda telah dapat dikalahkan oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah,
Sultan Selangor ke-2 yang diketuai oleh Baginda sendiri dengan bantuan dua ribu
orang Pahang yang diberikan oleh Bendahara Abdul Majid. Serangan ke atas
kubu-kubu itu dilakukan pada waktu malam 27 Jun 1785.
Kemenangan Belanda ke atas Selangor
pada hari ini dalam tahun 1784 adalah bersifat sementara sahaja kerana pada 28
Jun 1785 Selangor telah menewaskan Belanda semula dan mengusir penceroboh itu
dari tanah airnya.
28 Jun 1785 - Pada tahun 1785, tentera
Belanda kalah di Selangor setelah diserang oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah.
Orang-orang Belanda di bawah pimpinan Komander Gerardus Zwykhardt dan August
Gravensteyn terpaksa lari meninggalkan kubu mereka di Kuala Selangor balik ke
Melaka.
Ketika Kompeni Belanda berkuasa di
Kuala Selangor mereka mengambil alih kubu-kubu pertahanan Sultan Ibrahim di
Kuala Selangor dan melantik Raja Muhammad Ali Siak sebagai Pemangku Yang Di-Pertuan
Selangor. Tetapi pada hari ini dalam tahun 1785, Sultan Ibrahim dan
pengikut-pengikutnya dan dengan bantuan orang-orang Pahang telah berjaya
menawan kembali kubu Kuala Selangor. Belanda telah diusir keluar dari situ.
Apabila Sultan Ibrahim berkuasa semula
baginda telah memperbaiki dan membina kubu-kubu di atas kawasan bukit di Kuala
Selangor. Melihatkan akan kekuatan kerajaan Sultan Ibrahim, Kompeni Belanda
memutuskan untuk berbaik-baik. Ekoran daripada itu, pada 29 Jun 1786, satu
perjanjian telah ditandatangani oleh kedua belah pihak.
Kemenangan yang dicapai pada hari ini
dalam tahun 1785, mampu menebus kembali kekalahan Selangor dan semangat bersatu
yang tertinggi di kalangan rakyat merupakan faktor penyumbang kepada kejayaan
tersebut.
Mengikut pengkaji sejarah tempatan Kuala
Selangor Datuk Dr. Yusoff Hassan menyatakan, sebenarnya Kota Tanjung Keramat
ini terbahagi kepada dua bahagian dimana yang disebut sebagai Bukit Belanda ada
juga tertulis Kota Utrecht ini dipanggil Bukit Tanjung manakala Bukit Keramat
ini adalah bukit yang terletak bersebelahan dengan Bukit Tanjung itu. Asalnya
Ia merupakan satu Kota yang telah dibina sendiri oleh Almarhum Sultan Ibrahim
bersama-sama pahlawan-pahlawan dan rakyat jelata Kuala Selangor pada masa itu.
Ini dikuatkan lagi semasa pemerintahan ayahanda baginda, Tuanku telah mengikut
ayahandanya melawat ke beberapa negeri seperti Riau, Johor Lama, Naning dan
kemudiannya Pahang. Baginda telah banyak tempat yang baginda pergi untuk
mengadakan berbagai hubungan diplomatik oleh kerana kebijaksanaan dan kegigihan
baginda satu masa dahulu.
Keadaan asal Kota ini ia terbina
dengan susunan batu-batu yang disusun setinggi lebih kurang 10 kaki dan selebar
8 kaki yang bentuknya merupakan kubu pertahanan yang kukuh. Disekitar tembok
kota itu diletakkan meriam untuk memperkuatkan lagi sistem pertahanan pada masa
itu.
Laluan kedua yang menghadap Bukit
Malawati akan berjumpa dengan Kubu pertahanan yang paling bawah sekali. Difahamkan
bahawa itu adalah Kubu pertahanan pertama sebelum musuh dapat menembusi untuk
ke kubu pertahanan kedua yang terletak di atasnya.
Kubu
Bukit Tanjung Keramat dibina semula oleh Sultan Muhammad pada tahun 1830.
Sebahagian besar kubu itu dibina merupakan kubu pertahanan yang sangat kuat.
Kubu berbentuk empat segi mempunyai dua pintu masuk. Pintu utama selebar tujuh
meter menghadap ke arah utara. Lorong dari pintu masuk melengkung ke arah timur
menuju ke tangga untuk turun ke Pangkalan Bagan Pasir. Satu lagi pintu masuk
menghadap ke arah timur dan ia dianggap sebagai pintu masuk kecemasan bagi
tentera di kubu untuk keluar membawa berita ke Kota Melawati. Apabila Belanda
menawan Kuala Selangor, kubu ini dinamakan Fort Utrecht yang dinamakan sempena nama
kapal mereka.
Seandainya anda menuruni tangga asal
pintu pertama untuk ke kota ini iaitu yang bersebelahan dengan Sekolah
Menengah Kebangsaan Seri Tanjung BEA3074. Ia boleh dijadikan tempat yang dapat
menarik minat para pelancong, para pecinta alam, peminat-peminat perkhemahan
dan sebagainya agar mereka dapat melihat dari atas dengan sendiri akan keunikan
dan kecantikan asal kota ini.
Di kawasan Bukit Keramat terdapat
sebuah tasik yang diberi nama tasik Shema. Pada asalnya semasa di zaman 60-han atau
sebelumnya dahulu, Bukit Tanjung dan Bukit Keramat adalah sebuah bukit yang
bercantum. Oleh kerana kuasa guna sama amat diperlukan di kala itu, ia telah bertukar
menjadi kuari batu Jabatan Kerja Raya bagi tujuan untuk pembinaan jalan-jalan
perhubungan, pembangunan dan kegunaan perlu di sekitar Daerah Kuala Selangor. Namun
begitu berbagai andaian telah dimuktamatkan apabila mengetahui tapak kota
ini telah diwartakan sebagai aset WARISAN NEGARA. Apa yang diharapkan pihak-pihak
berwajib dapat memulihara dan menjaga dengan sebaik mungkin untuk kita dan
untuk tatapan generasi yang akan datang.
Nukilan: Nor Isna.
Rujukan dan kredit
untuk;
1.
Dato' Dr Hj Yusoff Bin Hassan – 2002 - Sejarah
Kuala Selangor.
2.
ARKIB NEGARA Malaysia.
Laman Web.
1.
https://www.facebook.com/groups/144384085597613/posts/3555477991154855/
Dilayari pada 30 Mac, 2024.
2.
https://mmucyberjaya.tripod.com/bukit_tanjung_keramat_fort.htm
Dilayari pada 30 Mac, 2024.
No comments:
Post a Comment