26 April, 2024

AYAM INGKONG - AYAM MADU - AYAM UNGKEP.

AYAM INGKONG / ENGKONG MASAKAN JAWA MENU PALING BEST | CARA MASAK-RJnina

https://www.youtube.com/@RJnina.

Hi semua Selamat Datang ke RJnina- Masak ape tu? 

Terima kasih kepada anda yang dah subscribe channel ini. 

Pelbagai resepi menarik nina akan cuba kongsikan kepada anda semua. Cadangan dan saranan amat nina harapkan 

Kepada anda yang masih belum menjadi sebahagian dari Family RJnina -masak ape tu? Selepas anda lihat channel ini. jangan lupe untuk LIKE,KOMEN, SUBSCRIBE, & SHARE YE. LOVE U ALL❤. 


https://www.youtube.com/@RJnina.

RESEPI AYAM ENGKONG. Bahan²nya.

1.3kg ayam muda yg dicuci bersih

½ biji bawang besar

4 sudu lada hitam

1 sudu ketumbar

1 kotak santan

Cili merah secukupnya.. nk pedas, lebihkan. 

Asam keping

Daun pandan

Daun kunyit/ daun limau purut

Garam, gula, cukup rasa secukupnya. 


Tq for the greatest backgroud music ever. love it

Selamat mencuba! 


~ ~ ~


https://youtu.be/c1a17pyLlkc 

Resepi Original Ayam Engkong | Makanan Tradisi Masyarakat Jawa

https://www.youtube.com/channel/UCjwdpCA8NvOeP7EfHZEW4hA

Assalamualaikum semua.. berkongsi resepi masakan dengan kawan2 iaitu AYAM ENGKONG. 

Kebiasaannya dimasak jika ada kenduri di kampung kalangan masyarakat Jawa terutama semasa kenduri Tahlil dan boleh juga dijadikan menu ketika Makan beradab.

Semoga dapat membantu rakan2 yang sedang mencari kelainan dalam menu masakan harian anda. 

Cara masak dan kuantiti bahan boleh rujuk di video. 

Resepi ini adalah Resepi turun temurun dari Arwah Ibu saya. 

Bacaan Al-Fatehah untuk Arwah Ibu saya. 

TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN YANG ANDA BERIKAN. 

Jika anda sedang mencari Info tentang Pertanian, dan suka Bercucuk tanam, Boleh lawati Youtube Channel UWONG JOWO OFFICIAL dengan menekan link: / @uwongjowoofficial 

~ ~ ~

https://youtu.be/zuC-VUSr8qk

AYAM MADU, Resepi Ayam Bakar Madu Simple I Honey Chicken - How To Make Honey BBQ Chicken

~ ~ ~

AYAM UNGKEP - Resepi turun temurun - versi Tokwan

https://www.youtube.com/watch?v=RlnBuROxRwo

Assalamualaikum. Untuk kali ini Tokwan buat Ayam masak Ungkep Jawa, resepi turun temurun khas untuk makan tengah hari anak-anak yatim dan asnaf.. Semoga mereka gembira dengan hidangan ni.. in shaa Allah. rezeki pahala kongsi bersama di https://www.youtube.com/watch?v=RlnBuROxRwo

Di sini Tokwan kongsi Resepi untuk masakan kuantiti seisi keluarga.

Bahan-bahan masakan.         

✓5 biji bawang merah         ✓4 ulas bawang putih

✓1 inci halia                        ✓1 inci Lengkuas

✓1 ketul kunyit hidup         ✓1 biji bawang besar

✓1 batang serai                    ✓10-15 tangkai cili api hijau

✓sedikit air                           ✓1sudu besar jintan manis

✓1sudu besar jintan putih    ✓1 sudu besar ketumbar 

✓1 ekor ayam                    ✓sedikit garam

✓sedikit gula            

Terima Kasih juga kepada penyumbang yang turut sama menyumbang untuk meraikan Anak² yatim dan asnaf.. semoga Allah membalas jasa Baik kita semua

Terima Kasih juga kepada semua penonton penonton channel Tokwan Kami yang terus menerus menyokong Tokwan.. ada yang dari negara Singapore, Indonesia, Brunei, Thailand terutama juga Rakyat Malaysia. Semoga Kalian semua yang menonton dan menyokong Tokwan diperluaskan rezeki, dipermudahkan segala urusan, dan sihat tubuh badan. Aamiin

Alhamdulillah dengan nikmat yang diberi masih lagi berpeluang untuk merebut ganjaran Allah SWT.. sama-sama kita berkongsi rezeki..

TRIMO KASIH uwongjowoofficial MATOR NUWON. 

Nor Isna 26 Apr 2024 Jumuah

Kredit untuk:- 
Channel Tokwan Kami 
URL  di atas. Terima kasih.

25 April, 2024

Persekolahanku SMKST BEA3047@moe.edu.my Kuala Selangor - April 1974.

Kategori:        CERPEN

Tajuk  :           Persekolahanku - April 1974.

Hari raya 1 Syawal 1393H bersamaan Ahad 28 Oktober 1973 teringat akan emakku dan bapaku. Beliau telah membeli sekodi kain berwarna biru untuk dibuat pakaian raya dijahit sendiri. Itulah kegembiraan beberapa tahun hanya sekali sekala bagi kami, Alhamdulillah. Bapaku pula seorang setiausaha masjid dilantik menjadi Amil, menguruskan zakat fitrah datang bergantian orang kampong ke rumah bapaku. Mereka membayar zakat fitrah dengan bayaran $1.25 sen dikala itu bagi seorang penzakat. abang Long, abang Ngah serta abang Su, mereka ada memberi sedikit sebanyak bagi membantu dari segi kewangan. Begitu juga dengan Kak Long. Manakala Kak Ngah dan Kak Su masih belajar. Dari pengalaman dan lakuan yang dilalui oleh ibu bapa, abang-abang dan kakak kami itulah akan kami buat sebagai ihktibar serta panduan kami buat adik beradikku dimasa hadapan (masa kini). 

Masih jelas diingatan.

    Setiap hari sebelum subuh bermula 2 Januari 1974, kami dikejutkan bangun pagi untuk persiapan diri pergi ke sekolah sama seperti hari-hari lainnya. Tatkala melalui hari-hari biasa yang kebiasaannya bas sekolah akan tiba tepat waktu. Cikgu Ngadinah Sukim akan sentiasa menunggu bas bersama kami dimana kami menghormati beliau dengan sikap membisu kami. Sampai awal, atau lewat sampai tetap bersama-sama. Begitulah seadanya diri kami. Sesampai di sekolah terus kutuju kelas 4 Sastera A bagi memulakan pelajaran pada hari itu.

 Tambang bas hanya Lima Belas Sen bagi satu hala perjalanan sahaja. Tidaklah mahal mana  bagi seorang anak orang kaya, kan. Kami? Ya kami. Ibu bapa kami terkial-kial mencari tambang bagi pas bulanan sebanyak ‘enam ringgit’ sebulan. Hasil torehan getah semalam ditukar untuk rezeki makan semalam. Hasil menoreh pokok getah emak dan bapa kami pagi itu adalah rezeki untuk dimakan pada hari itu juga, begitulah seterusnya.

Aktiviti petang.

Pulang dari sekolah bertukar pakaian, terusku giring Keliwon (lembu jantan) meragut rumput di tepi jalan besar. Setelah makan tengah hari kami bersama tiga orang adik lelaki pula mengembala kambing-kambing peliharaan bapaku meragut rumput ke tempat yang telah ditetapkan semenjak awal lagi. Begitulah rutin kami setiap petang. Kadang-kadang di sebelah petang ada juga menoreh pokok getah di belakang rumah di mana satu kati sekrap (600 gram) dengan harga cuma 25 sen sahaja manakala segantang beras pula berharga $1.20 sen. Apatah lagi dengan dua belas adik beradik kami, dengan 8 orang adik beradikku ketika itu sambil menjaga adik perempuan kedua bungsuku dan sibongsu (Adek). Kayakah kami? Ya, kami kaya dengan budi bahasa dan budi pekerti namun kami tetap happy selalu.

Hari sejarah piluku.

Hari Jumaat 5 April 1974 adalah hari malang bagi kami dimana pagi itu kami sampai ke sekolah tersangatlah lewat. Sesampainya kami di sekolah, kerlingan ganas dari guru disiplin menerobos masuk ke mata dan fikiran tatkala sampai. Hanya perasaan perit dan pedih, yang amat menyeksakan. Hatiku membentak penuh curiga. Mengapakah kami sahaja yang diperlakukan sebegitu rupa sedangkan seorang guru telah lolos masuk dalam jeda tertentu berlalu? Ingatkah lagi siapa nama guru itu? Itu hanyalah desakan kenakalan emosiku yang bertanya pertanyaan sebegitu dikala itu. Tanda apakah ini?    

    Perhimpunan sekolah adalah wajib dihadiri oleh tiap-tiap murid dan semua guru. Kebiasaannya ucapan guru bertugas mingguan, pesanan-pesanan oleh guru lain yang ingin disampaikan dan diakhiri dengan ucapan, pesanan serta “public caning” jika ada oleh tuan Guru Besar En Kamaruzaman Salleh. Berderau hati kami bila mengenangkan lewat sampai ke sekolah pada hari itu. 

Bas sekolah mogok.

Dihari persekolahan lain sekiranya lewat waktu, harus berjalan kaki dari stesyen bas Bandar Lama Kuala Selangor (kini restoran makanan). Menapaklah kami sejauh 1.33 batu. Ini kerana kami menaiki bas awam dan bukannya bas sekolah yang kebiasaannya dipandu oleh En Mat Segak bermata kuyu sampai di sekolah. Bila waktu pulang kami akan berjalan kaki menuju stesyen bas dan melalui kedai cendol di bawah pokok, hanya berharga 10 sen bagi segelas besar dikala itu.

Alhamdulillah. Entah bagaimana pada minggu hadapannya kakitangan syarikat bas Selangor akan melancarkan mogok dengan sebsb yang tidak dijelaskan. Berita ini telah disampaikan oleh En Mat bermata kuyu beberapa hari sebelum kejadian. Setelah mendengar berita itu, dan demi memenuhi impian dan harapanku, secara otomatik naluriku membuat keputusan secara ‘skimata’. Apa lagi untuk minggu hadapannya kupinjam sebuah basikal baharu daripada Abang Ngahku. Berbasikallah ke sekolah sejauh lebih kurang 13 batu yang melewati pekan Bukit Rotan, dan pekan Assam Jawa yang tidak dan belum pernah kuharungi dan kubuat selama ini. Apakah nasib kepada rakan-rakanku yang lain?. Bagaimanakah kalau murid-murid yang sekarang ini menghadapinya?

Tekad diri.

Semasa balik langsung kupergi ke sekolah DMK Batang Berjuntai yang dipesan oleh guru kelasku untuk mengambil buku prestasi pelajaran 1973 yang tidak sempat disampaikan kepadaku, berbasikallah sejauh 14 batu. Setelah selesai urusan, kayuhan sejauh 6.1 batu sampailah ke rumah pada jam 4.10 petang. Sungguh penat dirasa demi memenuhi segi empat perjalananku pada hari itu. Begitulah seterusnya perjalananku dengan basikal yang sama untuk hari esoknya, lusa, tulat, dan tulit. Lima hari berbasikal ke sekolah cukuplah sudah, sudah ‘kapok’ rasanya bisik hatiku.

Mujurlah mulai minggu hadapannya pada Isnin 15 April 1974 perjalanan dan perkhidmatan bas beroperasi seperti biasa, tidak perlulah berkayuh basikal lagi, getus hatiku kegirangan sambil  mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Seiringnya berjalannya waktu yang berlalu tanpa kusedari sehinggalah menamatkan persekolahan tingkatan 5 Sastera A di SMKST.

Akhirnya.

Manusia adalah ciptaan maha agung oleh ALLAH. Otak dan fungsi adalah anugerah tertinggi dari Yang Maha Esa. Gunakanlah ia dengan sebaik mungkin. Berfikir, bertindak dan berfikiran matang walaupun ia belum sampai waktunya. Sikap sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit dan dimana ada kemahuan di situ ada kehendak dan jalannya. Beriringan dengan semangat SMK Sri Tanjong yang dibawa bersama, persepsi ini akan dapat mengubah diri seseorang itu ke arah kebaikan. Semangat dan bekalan oleh SMKST masih tetap dihati sehingga kini. Terima kasih ibu dan bapaku, abang-abangku, guru-guruku serta kakak-kakakku dengan yang seadanya.

 

Nor Isna 26 Mac 2024.


NOTA:   Gelaran Pengetua diguna pakai mulai tahun 1982 dan ke atas.

               Sistem metrik rasmi diguna pakai pada tahun 1981 dan ke atas. 

.TamaT.

 

Bukit Melawati Menyimpan Kenangan. 45000 Kuala Selangor.

SAJAK

Tajuk  :           Bukit Melawati Menyimpan Kenangan.

 

Indah dan bersejarah Rumah Api Kuala Selangor

Rumah Api Altingsburgh itulah panggilanmu

1794 penjajah Belanda membina pada asalnya

1907 penjajah British mengubah suai secara khusus

1910 dibuka semula secara rasminya.

Masih berfungsi sepenuhnya,

Tarikan teristimewa di Bukit Malawati,

83 meter dari dasar laut dan 27 meter dari darat,

Tenaga elektrik sumber operasi.

Berupaya memutar dan pancaran cahaya yang kuat,

56 kilometer jelas dapat dilihat,

Dipancarkan dua kali setiap 15 saat.

 

Batu Hampar berukuran 5x5x1 kaki persegi

Batu besar di sebelah barat halaman Bukit Malawati.

Sejarah tempatan menyatakan

Ia untuk tujuan hukuman mati,

Lagenda tempatan ada menyatakan,

Sultan keempat iaitu Sultan Abdul Samad

Sering menghabiskan waktu petangnya,

Duduk di atas batu sambil menikmati,

pemandangan matahari terbenam.

 

Kota Malawati masyur di Abad ke-18

Pemerintahan Sultan Selangor kedua, Sultan Ibrahim Shah.

Meriam dipasang di keliling kubu bagi mengukuhkan lagi kota

Ia dibina oleh penduduk kampung dikala itu.

 

Muzium Sejarah Kuala Selangor punya cerita

Mempamerkan koleksi peninggalan bersejarah lama

Artifak pelbagai jenis senjata purba, diorama,

Spesimen mata wang lama dan banyak lagi antaranya.

Bagi pengunjung mempelajari sejarah tempatan,

Penempatan awal, budaya nelayan tempatan dan

sejarah perdagangan daripadanya.

 

Perigi Beracun, menyeksa pengkhianat bangsa.

Diletakkan di dalam perigi berisi air yang berperengsa,

Lateks dan pucuk rebung yang separas dagu

Sebagai hukuman si mangsa.

Kini, perigi tertutup jeriji besi

Demi keselamatan dan mengelakkan kemalangan terjadi.

 

Makam Diraja dengan kemasan kekuningan dapat dikenal,

Tempat bersemayamnya tiga Sultan Selangor terawal,

Sultan Salahuddin Shah, Sultan Ibrahim Shah, dan Sultan Mahmud Shah.

Kawasan tertutup kepada khalayak sudah.

Kenangan yang tersimpan amat indah,

Untuk genersi terkini sudah.

 

Nukilan: Nor Isna 30 Mac 2024.

1.    https://www.mpks.gov.my/#views-bootstrap-destinasi-menarik-home-block-1


Jambatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 45000 Kuala Selangor.

 

Jambatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Kuala Selangor.


Gambar: Feri menyeberangi sungai Kuala Selangor. Perkhidmatan terakhir pada Mac 1979.

 

 Gambar: Jambatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah - dirasmikan pada 24 April 1979.

 

Sebelum jambatan dibina, orang ramai yang ingin menyeberang (memanggil Pasir Penambang dan Tanjong Karang) telah menyeberangi sungai Selangor menggunakan kemudahan feri bernama Penambang.

    Tahun 1970, Jambatan Kuala Selangor FT5 telah dicadangkan. Bagaimanapun, projek itu mencetuskan kontroversi kerana kelewatan akibat kegagalan kontraktor asal menyiapkan kerja tersebut. Hasilnya, tender baru telah dibuka pada tahun 1976 untuk mendapatkan kontraktor baru bagi menyiapkan kerja pembinaan Jambatan Kuala Selangor yang terbengkalai. Jambatan Kuala Selangor FT5, bersama-sama dengan Jambatan Sabak Bernam FT5, telah siap pada tahun 1980.

    Jambatan itu dibuka secara rasmi pada 24 April 1979 oleh Almarhum Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dari Selangor dan dinamakan sebagai Jambatan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pada asalnya, jambatan itu adalah jambatan dua lorong sebelum dinaik taraf kepada jambatan dwi laluan 2 x 2 x = 4 lorong.

 

Terjemahan: Nor Isna.

Kredit daripada; https://en.wikipedia.org/wiki/Sultan_Salahuddin_Abdul_Aziz_Shah_Bridge#

KOTA TANJUNG KERAMAT. Jalan Keramat Tanjung, 45000 Kuala Selangor.

KOTA TANJUNG KERAMAT.

Kota ini terletak lebih kurang 1.6 km dari pekan Kuala Selangor. Perjalanan lebih kurang 5 minit menuju ke Kota Tanjung Keramat dan memasuki dari belakang Kota Tanjung Keramat. Terdapat juga jalan yang lain untuk naik ke atas.

Sejarah yang tersimpan dan tercatat di Arkib Negara Kota Tanjung Keramat menyatakan ia telah dibina oleh Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Salehuddin Shah (Raja Lumu) dalam tahun 1782-1826 semasa pemerintahannya. Semasa hayatnya Almarhum telah membina Pusat pemerintahan di atas Kota Malawati atau Bukit Malawati dan sehingga Almarhum mangkat. Semasa hayatnya Sultan Ibrahim telah menjadikan dan memperkuatkan kedudukan pemerintahan baginda ketika itu dengan membina kubu-kubu pertahanan di sekeliling kota Malawati dan telah menjadikan kota Tanjung Keramat sebagai tempat pasukan tentera baginda berlatih dan bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman dari luar. Baginda juga telah banyak membuat hubungan diplomatik dengan Kerajaan lain yang telah wujud pada ketika itu.

02 Ogos 1784 - Pada tahun 1784, Selangor ditawan oleh Belanda yang memulakan serangan pada 13 Julai 1784. Kemenangan Belanda ke atas pusat pemerintahan di Kuala Selangor itu menyebabkan Sultan Ibrahim, Sultan Selangor pada masa itu bersama para pembesar dan pengikutnya telah berundur ke negeri Pahang. Serangan Belanda ke atas Selangor adalah sebagai membalas serangan Selangor ke atas kedudukan Belanda di Melaka. Ini kerana semasa peperangan Kerajaan Melayu Johor-Riau dengan Belanda, Sultan Ibrahim yang bersimpati dengan Johor telah membantu menyerang Belanda di Melaka dimana Belanda hampir-hampir tewas dalam tahun 1783 sekiranya tidak mendapat bantuan dari Betawi, Jawa.

Dengan penguasaan selepas mengharungi peperangan sengit Belanda ke atas Selangor, pihak Belanda telah memperkuatkan lagi Kota Malawati. Untuk beberapa waktu Belanda menguasai perjalanan lalu lintas Selat Melaka dan menguasai perdagangan bijih timah serta gambir. Walau bagaimanapun dalam tahun 1785 dengan bantuan tentera Bendahara Pahang, Sultan Ibrahim telah menyerang dan menawan semula ibu negerinya iaitu Kuala Selangor dari tangan Belanda.

Dengan kekalahan Belanda ini, Sultan Ibrahim dapat menegakkan kembali Kerajaan Melayu Selangor. Baginda telah memperbaiki dan memperkuatkan lagi Kota Melawati sebagai tempat kawalan dan pertahanan kerajaannya dari sebarang serangan dari luar demi masa hadapan. Orang-orang Belanda telah dapat dikalahkan oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah, Sultan Selangor ke-2 yang diketuai oleh Baginda sendiri dengan bantuan dua ribu orang Pahang yang diberikan oleh Bendahara Abdul Majid. Serangan ke atas kubu-kubu itu dilakukan pada waktu malam 27 Jun 1785.

Kemenangan Belanda ke atas Selangor pada hari ini dalam tahun 1784 adalah bersifat sementara sahaja kerana pada 28 Jun 1785 Selangor telah menewaskan Belanda semula dan mengusir penceroboh itu dari tanah airnya.

28 Jun 1785 - Pada tahun 1785, tentera Belanda kalah di Selangor setelah diserang oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah. Orang-orang Belanda di bawah pimpinan Komander Gerardus Zwykhardt dan August Gravensteyn terpaksa lari meninggalkan kubu mereka di Kuala Selangor balik ke Melaka.

Ketika Kompeni Belanda berkuasa di Kuala Selangor mereka mengambil alih kubu-kubu pertahanan Sultan Ibrahim di Kuala Selangor dan melantik Raja Muhammad Ali Siak sebagai Pemangku Yang Di-Pertuan Selangor. Tetapi pada hari ini dalam tahun 1785, Sultan Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dan dengan bantuan orang-orang Pahang telah berjaya menawan kembali kubu Kuala Selangor. Belanda telah diusir keluar dari situ.

Apabila Sultan Ibrahim berkuasa semula baginda telah memperbaiki dan membina kubu-kubu di atas kawasan bukit di Kuala Selangor. Melihatkan akan kekuatan kerajaan Sultan Ibrahim, Kompeni Belanda memutuskan untuk berbaik-baik. Ekoran daripada itu, pada 29 Jun 1786, satu perjanjian telah ditandatangani oleh kedua belah pihak.

Kemenangan yang dicapai pada hari ini dalam tahun 1785, mampu menebus kembali kekalahan Selangor dan semangat bersatu yang tertinggi di kalangan rakyat merupakan faktor penyumbang kepada kejayaan tersebut.

Mengikut pengkaji sejarah tempatan Kuala Selangor Datuk Dr. Yusoff Hassan menyatakan, sebenarnya Kota Tanjung Keramat ini terbahagi kepada dua bahagian dimana yang disebut sebagai Bukit Belanda ada juga tertulis Kota Utrecht ini dipanggil Bukit Tanjung manakala Bukit Keramat ini adalah bukit yang terletak bersebelahan dengan Bukit Tanjung itu. Asalnya Ia merupakan satu Kota yang telah dibina sendiri oleh Almarhum Sultan Ibrahim bersama-sama pahlawan-pahlawan dan rakyat jelata Kuala Selangor pada masa itu. Ini dikuatkan lagi semasa pemerintahan ayahanda baginda, Tuanku telah mengikut ayahandanya melawat ke beberapa negeri seperti Riau, Johor Lama, Naning dan kemudiannya Pahang. Baginda telah banyak tempat yang baginda pergi untuk mengadakan berbagai hubungan diplomatik oleh kerana kebijaksanaan dan kegigihan baginda satu masa dahulu.

Keadaan asal Kota ini ia terbina dengan susunan batu-batu yang disusun setinggi lebih kurang 10 kaki dan selebar 8 kaki yang bentuknya merupakan kubu pertahanan yang kukuh. Disekitar tembok kota itu diletakkan meriam untuk memperkuatkan lagi sistem pertahanan pada masa itu.

Laluan kedua yang menghadap Bukit Malawati akan berjumpa dengan Kubu pertahanan yang paling bawah sekali. Difahamkan bahawa itu adalah Kubu pertahanan pertama sebelum musuh dapat menembusi untuk ke kubu pertahanan kedua yang terletak di atasnya.

            Kubu Bukit Tanjung Keramat dibina semula oleh Sultan Muhammad pada tahun 1830. Sebahagian besar kubu itu dibina merupakan kubu pertahanan yang sangat kuat. Kubu berbentuk empat segi mempunyai dua pintu masuk. Pintu utama selebar tujuh meter menghadap ke arah utara. Lorong dari pintu masuk melengkung ke arah timur menuju ke tangga untuk turun ke Pangkalan Bagan Pasir. Satu lagi pintu masuk menghadap ke arah timur dan ia dianggap sebagai pintu masuk kecemasan bagi tentera di kubu untuk keluar membawa berita ke Kota Melawati. Apabila Belanda menawan Kuala Selangor, kubu ini dinamakan Fort Utrecht yang dinamakan sempena nama kapal mereka.

Seandainya anda menuruni tangga asal pintu pertama untuk ke kota ini iaitu yang bersebelahan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjung BEA3074. Ia boleh dijadikan tempat yang dapat menarik minat para pelancong, para pecinta alam, peminat-peminat perkhemahan dan sebagainya agar mereka dapat melihat dari atas dengan sendiri akan keunikan dan kecantikan asal kota ini.

Di kawasan Bukit Keramat terdapat sebuah tasik yang diberi nama tasik Shema. Pada asalnya semasa di zaman 60-han atau sebelumnya dahulu, Bukit Tanjung dan Bukit Keramat adalah sebuah bukit yang bercantum. Oleh kerana kuasa guna sama amat diperlukan di kala itu, ia telah bertukar menjadi kuari batu Jabatan Kerja Raya bagi tujuan untuk pembinaan jalan-jalan perhubungan, pembangunan dan kegunaan perlu di sekitar Daerah Kuala Selangor. Namun begitu berbagai andaian telah dimuktamatkan apabila mengetahui tapak kota ini telah diwartakan sebagai aset WARISAN NEGARA. Apa yang diharapkan pihak-pihak berwajib dapat memulihara dan menjaga dengan sebaik mungkin untuk kita dan untuk tatapan generasi yang akan datang.

 

Nukilan: Nor Isna.

Rujukan dan kredit untuk;  

1.    Dato' Dr Hj Yusoff Bin Hassan – 2002 - Sejarah Kuala Selangor.

2.    ARKIB NEGARA Malaysia.

Laman Web.

1.    https://www.facebook.com/groups/144384085597613/posts/3555477991154855/  Dilayari pada 30 Mac, 2024.

2.    https://mmucyberjaya.tripod.com/bukit_tanjung_keramat_fort.htm  Dilayari pada 30 Mac, 2024.

Bagaimana Kuala Selangor dan Selangor mendapatkan namanya. sejarah

Bagaimana Kuala Selangor dan Selangor mendapatkan namanya?  

Gambar ehsan daripada https://www.mpks.gov.my/ 

Sejarah awal nama Selangor bermula dari Kuala Selangor itu sendiri, yakni sebuah pekan terletak di pinggir Sungai Selangor. Manakala timbulnya nama Selangor adalah sempena sungainya. Kuala sungai ini pula dinamakan Kuala Selangor.

Memang zaman dahulu telah menjadi kebiasaan orang menamakan sesuatu tempat itu dari nama sungai. Sebagaimana yang diketahui mereka tinggal di tebing sungai yang menjadi alat perhubungan ketika itu. Diagakkan nama Selangor (Kuala Selangor) ini juga telah wujud lebih awal dari Kurun 15 Masihi, kerana sebelum Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511, Kuala Selangor pernah ditakluk oleh Melaka.

Dalam Sejarah Melayu menyebut pada zaman Paduka Seri Maharaja memerintah Singapura ada seorang Pasai bernama Tun Jana Khatib. Beliau mahir dalam Ilmu Khayal Lillah dan Tauhid. Beliau mempunyai dua orang sahabat iaitu seorang pergi ke Samarlingga (Selangor) dan seorang lagi ke Bungoran sementara Tun Jana Khatib pergi ke Singapura. Mengikut catatan sejarah, Paduka Seri Maharaja memerintah dalam Kurun 14 Masihi (1301-1400). Jika keterangan ini adalah benar. Jelaslah bahawa nama Selangor telah pun wujud pada ketika itu mahu pun sebelumnya. Dalam kitab Jawa Negarakertagama yang dikarang pada pertengahan Kurun 14 Masihi pula menyebut nama Klang tertakluk (jajahan takluk) ke Majapahit.

Beberapa keping peta lama tersimpan di negeri Cina dan dipercayai peta itu yang menjadi panduan kepada Laksamana Cheng Ho, salah seorang ahli perlayaran Cina yang dipercayai belayar dalam tahun 1405-1433. Dalam peta tersebut ada tertulis Sungai Klang dan Selangor darat. Sejarah Melayu juga ada menyebut di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1458), Tun Perak telah dijemput menjadi Penghulu di Klang.

Dalam khutub khanah Royal Asiatic Society di London pula terdapat senaskhah Sejarah Melayu bertulis tangan bersama-sama buku Raffles ada menyebutkan; Tuan Bendahara Johor mengahwinkan anaknya, Tuan Mahmud dengan puteri Raja Beruas (Perak) dan Tuan Mahmud diberi tahta memerintah Selangor.

Memandangkan segala keterangan di atas, nyatalah nama Selangor telah ada sebelum Kurun 15 Masihi lagi. Selangor yang dimaksudkan oleh keterangan di atas ialah Kuala Selangor sekarang ini di mana bermulanya politik negeri tersebut. Kata-kata ini tidak siapa yang dapat menafikan kerana segala bukti yang membenarkan bahawa di Kuala Selangorlah bermulanya pentadbiran negeri itu dan masih terdapat hingga sekarang.

Sebelum Daeng Chelak, anak raja Bugis lima bersaudara dari Pulau Sebilis itu datang ke Selangor, di Kuala Selangor telah memang ada didiami oleh manusia diketuai oleh seorang perempuan yang adil dari kaum Bugis yang bernama Upu Chendera Burung. Sifat seorang pemerintah yang bertimbang rasa inilah yang mempengaruhi hati penduduk asli di situ, hinggakan mereka bersumpah tidak akan melantik ketua yang lain kecuali dari keturunan Bugis. Faktor inilah yang menyebabkan kedatangan Raja Lumu ke Selangor telah diterima baik oleh penduduk tempatan dikala itu.

Apabila meninggalnya ketua mereka, lalu dikebumikan di atas sebuah bukit. Mengikut ceritanya bukit itu ialah Bukit Hospital yang berhampiran dengan Majlis Daerah Kuala Selangor sekarang ini (1979). Kini 2024 MAJLIS PERBANDARAN KUALA SELANGOR. Jalan Majlis, 45000 Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan. Di sisi pusara Upu Chendera Burung ini terdapat sebuah kolam air tawar dan sepohon bunga Tanjung.

Nukilan: Nor Isna. ‎5 ‎April ‎2024, ‏‎11:23:33 PM.

Rujukan.

1.    Dato' Dr Hj Yusoff Bin Hassan - 2002 - Sejarah Kuala Selangor.

 

Laman web dilayari.

1.    https://www.mpks.gov.my/#views-bootstrap-destinasi-menarik-home-block-1

2.    https://www.kompas.com/stori/read/2021/04/08/143609479/kitab-negarakertagama-sejarah-isi-dan-maknanya?page=all

PGB Pertama SMK Seri Tanjong Kuala Selangor. Kod BBE3074

Tajuk:  PGB Pertama SMKST Kuala Selangor BBE3074.

BEA3074@moe.edu.my 

Latitude3.345781
Longitude101.242458


Di bulan Lima 1935

Lahirlah ia membawa cahaya

Sedari kecil hidup sederhana

MCKK diterima ia

 

Bermula kisah di SK Assam Jawa,

Tempat lahirnya mengenal dunia.

Dalam frofesyen perguruan laksana,

Berpindah sekolah juga akhirnya.

 

Kampong Kuantan nama asalnya,

Berkhidmat di sana tidaklah lama.

Hingga akhirnya dipindahkan jua,

SMKST tempat bermula.

 

Usia muda memandu bahtera,

Sekolah baharu tak punya harta.

Berkat ketekunan dan paduan kerja, 

Terserlah indah di persada negara.

 

Bertahun-tahun penyedia utama,

Rajin dan usha kepimpinannya.

Hingga akhirnya tidak disangka,

"Hidup Biar Berbakti" angkara nyata.

 

JPN Ausie KPM dan Intan,

Tertubuh Ess Tee di akhir tujuan.

Semoga sihat Datuk Sufian,

Buat generasi kini jadi panduan.

 

Pengkisahan ini enam abad berlalu,

Bagai semalam terasalah laju.

Hendak kuundur masa yang lalu,

Hatiku pilu tak siapa yang tahu.

 

Begitulah kisah anak berjasa,

Bertubuh kecil berjiwa mulia.

Haji Sufian Toimon banyak jasanya,

Kawan dan lawan segan padanya.

 

Nukilan: Nor Isna 8 Apr 2024,

BURASAK MAKANAN BUGIS?

Buras atau burasak ialah sejenis masakan Bugis yang berasaskan beras dan santan. Biasanya ia dibuat semasa hari-hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Buras disediakan dengan memasak beras dengan santan. Beras yang sudah masak itu tadi kemudiannya dibungkus dengan daun pisang lalu diikat sebelum direbus selama sekurang-kurangnya empat jam. Buras mudah ditemui di kawasan-kawasan yang mempunyai komuniti Bugis.

Nama alternatif        Burasak.

Jenis                        Hidangan nasi, snek, lauk.

Tempat asal             Sulawesi Selatan, Indonesia.

Kawasan/rantau      Indonesia, Malaysia.

Bahan utama           Santan, beras.

    Salah satu tradisi peninggalan masyarakat Orang Bugis yang sangat mantap lagi sensasi sedapnya. Nama yang tidak asing lagi, itulah BURASAK @ BURAS - BUat raSA Syok Ketagih akan makanan ini. Biarlah jenama ini sendiri yang membawa seribu arti dan rasa, bersempena akan kehadiran orang yang paling utama dan dihormati di negeri Selangor ini. Mungkin anda belum mengenali Sultan / Raja Lumu, Sultan Salahuddin Shah, Almarhum sultan Selangor pertama yang memerintah negeri Selangor kurun ke-17 yang lalu. Bahkan makamnya ada di Kuala Selangor. Nah ini dia, bukan sahaja orangnya malah makanannya juga telah menawan seluruh hati rakyat akan keenakan makanan tradisional ini.

            Burasak adalah sajian tradisi orang Bugis yang biasanya dinikmati di musim perayaan-perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha malah perayaan lain di Malaysia. Ia dihasilkan dan diperbuat dari makanan asasi kita iaitu beras yang dimasak bersama santan yang kemudiannya dibungkus bersama daun pisang sebelum direbus atau dikukus. Rupanya seakan-akan ketupat yang sudah tentunya sajian ini mempunyai keistimewaannya yang amat tersendiri. Bagi mereka yang baharu pertama kali melihat hidangan ini pun pasti akan terliur dan ingin tahu bagaimana rasanya, kan. Namun begitu suatu masa nanti ia akan setanding dengan ketupat dan lemang yang menguasai tahta makanan semasa hari perayaan. Bagi mereka yang teringin mencuba membuatnya, mencuba kemampuan diri, makan atau merasa? Berikut ini diperturunkan bahan-bahan dan cara membuatnya. Sungguh senang sekali. Selamat mencuba.

 

CARA MEMBUAT BURAS @ BURASAK YANG SEDAP.

SEDIAKAN BAHAN-BAHANNYA:

Beras standard.

Santan kelapa

Air putih

Garam

Daun pisang - potong saiz kertas A4

Daun pisang kepok bersaiz besar

Tali rafia untuk mengikat.

[Sediakan bahan-bahan ini secukupnya].

 

CARA MEMASAK:

1. Basuh beras kemudian satukan bersama santan, air dan garam secukupnya. Ia seakan sama sebagaimana memasak nasi lemak atau lemang. Tanak hingga hampir masak. Jangan lupa ya.

2. Bungkus nasi yang dimasak tadi menggunakan daun pisang. Lakukan hingga habis.

3. Ambil 6 keping bungkusan burasak. Bungkus @ ikat sekali lagi menjadikan bungkusan besar. Ikat dengan kemas.

4. Untuk memasaknya, rebus bungkusan Burasak tadi selama 8 jam (yang benar-benar masak).

5. Angkat dan sejukkan. Burasak enak dimakan bersama Asam Pedas Ikan Parang dan Bejabuk juga rendang daging (cadangan). Bergantung kepada cita rasa anda.

Benarlah akan kata-katanya.

Harimau mati meninggalkan belang,

manusia mati meninggalkan nama

yakni kebaikan yang ditinggalkan oleh-Nya. Aamiin.

 

Nor Isna 14 Apr 2024,

 

Kredit dan rujukan untuk:

1.    https://ms.wikipedia.org/wiki/Buras

2.    https://www.rasa.my/resipi-burasak-sajian-tradisi-orang-bugis-yang-sangat-sedap/

3.    https://www.youtube.com/watch?v=vQPx6_DR9ek

4.    https://www.youtube.com/watch?v=ZTPGEk_RY-4

5.    Saudari Siti Nor Farahin kongsikan resipinya.

6.    Kredit resipi & foto: Siti Nor Farahin

 

Kereta api Klang dan Kuala Selangor

 

Kereta api antara Klang dan Kuala Selangor.

Dalam sejarah pengangkutan pada tahun 1908, akhabar Malay Mail melaporkan aduan daripada penduduk pantai barat Selangor ketika itu. Dimana perkhidmatan bas dianggap sebagai pengangkutan utama dari Klang ke Kuala Selangor adalah sangat terhad, walaupun perkhidmatan itu mampu dimiliki. 

Pada Januari 1911 iaitu selepas beberapa tahun daripada itu, pihak penjajah akhirnya akur dan mula membina landasan kereta api antara Klang yang melalui beberapa tempat dan dan akhirnya sampai ke Kuala Selangor, yang telah siap sempurna pada tahun 1913. Ia bermula dari Stesen Jambatan Connaught di Klang, dan kemudian melalui 17 hentian untuk sampai ke Stesen Kuala Selangor (berkemungkinan termasuk lingkaran kereta api di sebelah barat bawah Bukit Malawati, termasuklah di Assam Jawa melalui Teluk Piah Kanan (nama terkini).

Pada Februari 1913, pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu membina laluan di kawasan yang sama untuk mengangkut komoditi kopi, getah dan hasil bumi lain, serta memberi berkhidmatan kepada penduduk tempatan pada masa itu. Jalur kereta api ini juga akan memudahkan mengangkut bahan-bahan asas pembinaan landasan dan membuat jalan raya pula. Video bahagian kedua bertajuk, "Menjejak Sejarah Pembinaan, Tapak Stesen dan Penutupan Laluan Keretapi Klang - Kuala Selangor", terbitan pada tahun 2021. Di dalamnya ada mengesan sisa-sisa laluan kereta api melalui jalan yang dimaksudkan itu, termasuk pelbagai struktur dan data terkini yang diperoleh daripada Peta Google. 

Di sepanjang laluan kira-kira 40 kilometer itu, menampilkan rekod stesen paparan, termasuk Klang Utara, Sungai Putus, Parit Chabang, Vallambrosa, Sungai Perepat, Kapar Ilir, Kapar, Jalan Acob, dan Suara. Perkhidmatan ini berfungsi selama 18 tahun sebelum perkhidmatannya diakhiri dan digantung pada November 1931. Diganti sepenuhnya dengan perkhidmatan pengangkutan jalan raya sehingga kini.

Bekas Laluan 

Tapak tinggalan sejarah termasuk timbunan Jambatan George Dearie Rusell di Sungai Puloh, Klang. Begitu juga dengan sisa-sisa batu di hadapan Sekolah Kebangsaan Jeram BBA3007 dipercayai peninggalan kawalan air stim kepada kereta api (penyejukan kepala kereta api). Manakala jambatan Besi Pasir Tuntung yang dibina lebih 100 tahun lalu dan jambatan itu telah terbiar begitu lama serta tidak lagi sesuai untuk kenderaan berat.

Dalam pada itu juga disarankan, semoga ada pihak-pihak tertentu yang boleh bertanggungjawab akan mengambil perhatian sewajarnya yang mana tinggalan sejarah ini harus dipulihara selayaknya. Juga ada pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Pelancongan dan NGO dapat meletakkan papan tanda memberitahu orang ramai akan keberadaannya. Pada masa yang sama, orang ramai akan menyedari akan kewujudan peninggalan sejarah ini, dan generasi akan datang akan menghargai dan tidak pupus sejarah Selangor. 

Kini pembinaan landasan (rel) kereta api dari Klang ke Kuala Selangor yang baharu, dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, dan kerajaan negeri telah dirancang semula. Perlaksanaannya dalam tempoh lima tahun akan datang ini (2024 - 2028). Ia bertujuan bagi memendekkan perjalanan telah diambil kira ke bahagian utara negeri ini, berbanding laluan jalan raya sedia ada. Disamping merancakkan lagi ekonomi di kawasan sekitar di sepanjang pantai barat negeri Selangor. Ia juga akan dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam lainnya. 

Harapan.

Terbayang akan jalur pertama yang dibina sebelum ada ialah jalan raya lama Klang - Kuala Selangor. Pelebaran jalan raya juga telah dilaksanakan pada sekitar 2005 yang lalu dan secara rasmi mula digunakan. Khabarnya pula akan dibina laluan ERT/LRT dari Puncak Alam - Kuala Selangor mungkin ke Sabak Bernam pula dan seterusnya. Ini merupakan khabar gembira bagi rakyat Selangor.

Kami rakyat negeri Selangor amat mengalu-alukan pembinaannya demi kebaikan rakyat bersama. Sebelum itu jalur pertama ialah kapal layar, kedua kereta api, dan yang ketiga jalan raya. Mungkin nanti akan adakah ECRL pula? Sama-sama kita tunggu dan nantikan perkembangannya. Menelusuri akan perkara ini mengingatkan kita cerita-cerita yang sempat beredar dan didengar iaitu menaiki kapal layar (kapal laut) dari Kuala Selangor ke Port Klang yang memakan masa lebih daripada 2.5 jam. Kita tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan dan pengalaman melaluinya pada ketika itu. Bagaimanakah bentuk pakaian para penumpang ketika itu, berapakah tambang yang dikenakan.

Apakah barang-barang yang dibawa dan banyak lagi. Persoalannya di sini ialah; 

1. Mengapakah generasi Y sekarang ini yang belum dilahirkan agar dapat dan sempat melihat perubahan serta keadaan suasana polemik diketika itu?

2. Seandainya projek ini terlaksana (akan terlaksana) ribuan terima kasih kita kepada pihak kerajaan pusat di atas perlaksanaan projek ini. 

3. Marilah kita bersama-sama berdoa semoga dapat melihat dan merasainya akan kecanggihan projek ini seandainya kita semua diberi waktu untuk itu. 

Penulis: Nor Isna, 12 Apr, 2024 Raya ke-3.

Rujukan dan kredit;-