Dari Operator Mesin ke 'Operator' Budak Sekolah - 39 Tahun Tak Sempat Rehat.
Pada Mac 1979, aku start kerja kat Malex jadi packer dengan operator mesin. Hari-hari gaduh dengan mesin. Dia buat perangai, aku ketuk manja. Gaji masuk, hati senang. Masa tu cita-cita: “Biarlah mesin je yang bising, janji poket berisi.” Tup-tup 1 Julai 1981, aku tukar angin jadi Pembantu Luar FELCRA Bukit Nikmat, Jerantut. Dari bunyi “dug dug dug” mesin, terus ke bunyi “krok krok krok” cengkerik kebun. Muka licin terus jadi gelap sebab panas ladang. Mak tanya, “Kerja apa sampai hitam macam ni?” Aku jawab, “Mak, ni bukan sunburn, ni tanda bakti negara.”
16 Jun 1982, entah semangat mana datang, aku masuk MPIK ambil PSR Muzik. Dari angkat tanda sawit, terus angkat rekoder. Praktikal kat SK Bandar Tun Razak, Siri 1 & 2. First time ajar budak, aku tiup rekoder bunyi macam kereta api nak mati. Budak-budak gelak sampai cikgu besar jeling. 2 Jan 1985, first posting kena campak ke SRK Tanjung Bundung, Meradong, 95000 Bintangor. Nak pergi sekolah kena naik bot. Nyamuk sana sado-sado, sekali digit “helikopter” terus demam seminggu. Tapi kat situ aku naik level: siang cikgu, malam jadi bomba, tukang paip, bomoh pening kepala budak asrama.
Hujung 1988 balik Semenanjung, SK Jeram Batu 20. Awal Disember 1994 lompat SK Parit Mahang. Hidup cikgu ni macam main dam haji - lompat-lompat sekolah. 16 Feb 2000, pergi IAB ambil NPQH Ambilan 2. Umur dah nak masuk 4-series, kena buat assignment macam budak U. Tengah malam baru siap, kopi 3 cawan, mata macam burung hantu. Bini tanya, “Abang ni belajar ke kena rasuk?” Tab-tub 2001 patah balik SK Jeram Batu 20. Budak tegur, "Cikgu, cikgu pindah pergi mana hari tu? Rindu cikgu." Aku jawab dalam hati, “Cikgu pun rindu gaji lama, tapi apakan daya.”
15 Feb 2005 naik PPD Kuala Selangor - Data ICT Penolong. Dari ajar budak tekan rekoder, sekarang aku pula kena tekan keyboard. Mula-mula Excel pun aku ingat nama kedai baju. GPK-GPK telefon tanya data, aku jawab, “Sabar, cikgu tengah berguru dengan Embah YuTub.” Ha ha ha.
1 Jan 2011 jadi GPK Ko-Kurikulum SK Puncak Alam 3. Kerja dia? Pagi ke padang, tengah hari mesyuarat, petang lari urus kejohanan. Kasut sukan aku lagi banyak dari kasut raya. 2014 tukar jadi GPK HEM. Rasmi jadi 'polis sekolah'. Budak tak pakai stoking, aku tahu. Budak ponteng, aku hidu. Mak ayah datang, ayat standard aku: “Anak tuan bijak, cuma bateri dia je selalu lemah.”
22 Oktober 2018, genap 60 tahun, terus pencen. Hari last punch card, sunyi. Mesin punch tu pun macam sedih tengok aku. Dari mesin Malex sampai mesin punch sekolah, 39 tahun aku layan mesin dan manusia. Kesimpulan: Hidup ni macam lagu PSR Muzik juga. Ada intro kelam-kabut, verse naik turun, chorus penat, tapi ending dia tetap manis kalau kita enjoy rentak dia. Sekarang? Tido pukul 10 malam, bangun tak ada loceng. Tapi rindu… rindu bunyi bising budak, rindu bau kapur, rindu kena kejar dateline PPD. Kini rindu itu terkurung dalam Sejarah diri.
Kredit gambar: Cikgu Cek Hassin Isa 10 Mac 2023.
Perkataan: 498
Nama pena: Nor Isna.
Jumaat 4 Apr 2026

